Tuesday, October 7, 2008

Salam Aidil Fitri

Salam aidil fitri diucapkan pada semua muslimin terutamanya kepada yang dapat memahami tulisan ini. Rasanya tidak terlalu terlewat untuk aku mengucapkan kalimat itu, kerana begitulah adatnya di Tanah Melayu ini, menyambutnya di sepanjang Syawal. Di sana-sini akan ada rumah-rumah terbuka, walaupun sebenarnya dikhaskan kepada tetamu jemputan sahaja. Tapi mungkin tahun ini rumah-rumah terbuka itu sedikit berkurangan, almaklumlah, dengan peningkatan kos hidup akhir-akhir ini.
Hampir seminggu berlalu, aku beraya di kampung, nun di pinggir ibu kota, jauh dari tempat aku menetap sekarang. Keadaannya masih sama, masih ada ziarah menziarahi, tapi kemeriahan itu agak kurang dirasakan. Sempat bertemu teman-teman lama, tapi bualannya agak terbatas, kerana masing-masing telah ada komitmen sendiri. Namun yang lebih penting bagiku, pulang ke kampung berhari raya ini dapat menziarahi kedua orang tua yang masih hidup, atau pusara mereka yang telah mendahului kita.
Sekali lagi, salam aidil fitri, maaf zahir batin.

No comments: